20 DIS : Tarif elektrik di Semenanjung kekal bagi tempoh bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2025.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata kerajaan memutuskan agar kadar rebat dan surcaj berdasar mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang dikenakan kepada semua pengguna dikekalkan.
“Pengekalan tarif elektrik ini diharap akan menjamin pemain industri supaya memastikan kestabilan harga barangan di pasaran dan menyokong usaha Kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat serta merancakkan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut PETRA, kerajaan akan menanggung RM2.388 bilion subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025.
Dalam kenyataan sama, PETRA berkata pihaknya percaya pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan yang terbaik dalam usaha mengurangkan komitmen subsidi kerajaan supaya lebih banyak bantuan lain dapat disalurkan kepada rakyat.
Selain itu katanya, kerajaan turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi TNB di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
“Sehubungan perkara ini, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif.
“Di samping mengekalkan keseimbangan trilema tenaga dan jadual tarif baharu ini dengan melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM3.57 bilion dibiayai oleh kerajaan,” katanya.
Kerajaan juga komited dalam memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.