21 DIS : Semua kenderaan persendirian Kelas 1 akan menikmati tol percuma di semua plaza tol sempena perayaan Hari Krismas, tahun ini.
Pengecualian tol itu bermula jam 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) akan berakhir jam 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa).
Namun tawaran itu tidak terpakai di plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta, Kerajaan MADANI bersetuju memberikan pengecualian tol itu kepada semua kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) selaras dengan aspirasi ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’ sempena perayaan Hari Krismas 2024.
Menurutnya, implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM38 juta.
“Pengecualian tol ini diharapkan dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia MADANI yang berbilang kaum, budaya dan agama untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Krismas 2024 terutama kepada yang beragama Kristian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelak kesesakan lalu lintas semasa musim cuti.
Pada masa sama, pengguna juga dinasihatkan menjaga kesihatan dan kesegaran tubuh badan bagi pengalaman pemanduan yang selamat, memastikan kondisi kenderaan dan memastikan baki kad Touch n Go serta eWallet mencukupi.
Selain itu, pengguna juga diingatkan mematuhi arahan papan tanda dan maklumat dipaparkan di Variable Message System (VMS) serta memberi isyarat awal jika memasuki lorong Smart Lane yang diaktifkan.
Pengguna lebuh raya disaran menyemak status trafik semasa melalui kemas kini di media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM melalui talian 1800-88-7752.