21 DIS : Kerajaan Perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) boleh memenangi pilihan raya umum (PRU) jika ia diadakan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan itu berdasar kepada kerangka pentadbirannya yang mementingkan aspek pengurusan ekonomi bagi membantu rakyat.
“Kalau ada pilihan raya umum sekarang, saya lebih yakin menang…dengan sokongan penjawat awam yang kita sudah bantu dalam aspek kenaikan gaji.
“Ia memerlukan usaha yang tinggi untuk meletakkan agenda ekonomi pada situasi sekarang,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata prestasi Kerajaan MADANI masih boleh diperbaiki termasuk dalam kalangan jemaah menterinya yang diakuinya ada yang masih berada pada tahap sederhana.
“Adakah saya berpuas hati? Saya cuba sedaya upaya tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki. Apakah saya berpuas hari dengan menteri? Ada yang cemerlang ada yang sederhana, sama juga dengan Perdana Menteri,” katanya
Namun beliau bertegas tidak akan berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa dalam kalangan menterinya malah.
Katanya, pentadbiran Kerajaan MADANI tidak mengizinkan amalan lama berlaku terutama rundingan terus projek ataupun ‘kecurian’ komisen.
“Ia bukan sahaja soal menteri namun juga pegawai dan ke bawah, soal tatakelola dan pengurusan yang cermat ada kes lama yang boleh diselesaikan dan ada sebahagian belum selesai.
“Dua tahun lalu, ada kes Perdana Menteri mengambil dana untuk kepentingan peribadi dan keluarga… kepentingan syarikat berbilion-bilion…kalau kita kekang dan perlu diperbaiki, langkah itu kita ambil,” katanya.
Mengulas soal penilaian yang dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerajaan MADANI sebelum ini, Anwar berkata banyak aspek yang tidak diambil kira seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang tidak menilai aspek rasuah, tatakelola dan pengurusan ekonomi.
Dalam perkembangan lain, Anwar akui tidak bersetuju aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza ditangkap atau didakwa kerana mengeluarkan poster yang dipercayai memperlekehkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Secara peribadi, Anwar berkata beliau tidak percaya semua kritikan terhadap kerajaan atau Perdana Menteri memerlukan siasatan polis namun jika ia melibatkan hasutan agama dan Raja-Raja Melayu perkara itu di luar bidang kuasanya.
“Terus-terang, saya fikir untuk maksud hal ini, saya nak gesa dan nasihat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis, dalam kes kritikan kepada Perdana Menteri, biar sahajalah.
“Tetapi kalau ia melanggar macam sekarang ini melibatkan Raja-Raja, itu di luar (bidang kuasa) saya. Majlis Raja-Raja kata tak setuju Raja-Raja disepak terajang kerana Raja-Raja tak boleh jawab dan bukan dalam permainan politik.
“Kena ingat, kadang-kadang hasutan mencuit perasaan agama yang kuat. Jadi saya tidak setuju nak ambil semua kes yang mengkritik kerajaan dan menyindir, tak payah. Tetapi kalau ia melibatkan kaum dan agama, itu susah jika kita mula ‘memaafkan’…ini boleh pecah belah kita,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim