23 DIS : Kerajaan Perpaduan mampu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya parti komponennya mengutamakan aspek kesetiaan di dalam gabungan itu.
Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan UMNO dan BN akan terus memberi komitmen untuk bersama Kerajaan Perpaduan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga PRU16.
“Saya ingin menyatakan kerjasama UMNO dan BN dengan Kerajaan Perpaduan adalah sehingga PRU16. Oleh yang demikian bagi menyantuni rakyat dan mewujudkan kerajaan yang stabil, sila dengar pendapat-pendapat daripada menteri-menteri yang mewakili BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen BN Negeri Sembilan 2024 di Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad.
Pada 21 Disember, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Kerajaan Perpaduan yang diterajui beliau memiliki kelebihan untuk menang sekiranya PRU16 diadakan dalam tempoh terdekat.
Ahmad Zahid menambah, kesetiaan merupakan perkara utama dalam kepemimpinan UMNO, serta menegaskan tiada usaha untuk membawa ahli dan pemimpin BN ‘menyeberang’ ke parti lain.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyeru pemimpin BN melakukan persiapan bagi menghadapi pilihan raya akan datang dengan memperkukuhkan struktur dalaman parti.
katanya pemimpin BN juga perlu mendekati rakyat dan memahami aspirasi generasi muda, pemerkasaan teknologi dan media sosial serta menggerakkan jentera secara menyeluruh.
“Permasalahan timbul dalam PRU14 dan PRU15 ialah ramai pemain sepatutnya ada semangat sepasukan tetapi tendang bola dalam gol sendiri, akhirnya kecundang.
“Hakikatnya kita mesti berperanan di posisi masing-masing sebagai pemain dalam pasukan bola agar kemenangan memihak kepada kita, pasukan BN jangan tendang bola ke dalam gol sendiri,” katanya.