23 DIS: Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai perencanaan strategik bagi melonjakkan ekonomi negara sepanjang 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif ini bertujuan untuk memastikan kemakmuran yang berpanjangan dapat dinikmati oleh rakyat dan negara.
Menerusi ‘Sorotan 2024: Melonjak Ekonomi, Melimpah Kemakmuran’ yang dikongsi di Facebooknya pada Ahad, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkongsi beberapa inisiatif dan pencapaian negara termasuk pelaburan ekonomi digital dengan dana RM254.7 bilion.
Menurutnya, sejumlah 159,000 pekerjaan berjaya diwujudkan dan berjaya memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi di Asia Tenggara dan diluluskan dalam tempoh Januari hingga September menerusi pelaburan tersebut .
Selain itu, pelaburan Infineon di Kedah dengan nilai RM30.1 bilion untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida terbesar di dunia turut menghasilkan 4,000 peluang pekerjaan.
Ia berjaya mengukuhkan industri semikonduktor Malaysia dan menarik pelabur global serta meningkatkan nilai eksport.
Sementara itu, projek kerjasama antara SD Gutbrie dan Permodalan Nasional Berhad berjaya membangunkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di atas tanah seluas 1,000 ekar dengan perancangan pembinaan ladang solar seluas 660 ekar.
Projek tersebut memberi fokus kepada pelaburan dalam sektor semikonduktor dan E&E.
Pada masa sama, 900,000 pekerjaan baharu dijangka dapat diwujudkan di bawah Projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) Sumbangan Kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM82 bilion menjelang 2030.
Seterusnya, Malaysia memacu daya tahan ekonomi jangka panjang menerusi Pelaburan GLIC sebanyak RM120 bilion daripada enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti pembuatan canggih dan peralihan tenaga.
Bagi meningkatkan keadilan sosioekonomi, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera diwujudkan bagi memberi tumpuan kepada peningkatan penyertaan ekonomi Bumiputera melalui inisiatif yang disasarkan.
Selain itu, Kemajuan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dilihat bakal meningkatkan kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor global selain mencipta peluang pekerjaan tinggi.
Mengulas lanjut, gaji median dijangka meningkat sebanyak 8.2 peratus atau RM201 dan ia dapat meningkatkan peluang pekerjaan sebanyak 0.9 peratus atau 200,000 pekerjaan menerusi pelan tersebut.
Sehubungan itu, Anwar berkata kerajaan akan terus bekerja keras pada tahun akan datang demi memacu masa depan negara yang lebih sejahtera.