23 DIS : Thailand menghormati keputusan pihak berkuasa Malaysia menutup pangkalan haram di sempadan Malaysia Thailand di Kelantan seperti yang tertakluk dalam undang-undang di negara ini.
Komander Tentera Darat Bahagian Ke-4 Thailand Lt Jen Paisan Nusang berkata tindakan tersebut merupakan satu langkah positif dan tepat bagi memastikan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand lebih terjamin.
Menurutnya, rakyat di kedua-dua negara perlu mengamalkan cara hidup seperti tertakluk dalam undang-undang, selain perlu menggunakan laluan yang diwartakan jika tidak mahu berdepan masalah.
“Setakat ini, terdapat rakyat Thailand ditahan pihak berkuasa Malaysia kerana menyeberangi sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok dan ditahan di Depot Tahanan di Tanah Merah.
“Rakyat di kedua-dua negara yang sudah lama menetap di kawasan persempadanan dan menggunakan pangkalan haram sebagai laluan harian telah banyak menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa dan berlaku kegiatan penyeludupan tidak terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian menggunakan penterjemah tempatan sempena lawatan khas media Kelantan ke atas pihak berkuasa Thailand, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Paisan berkata penutupan pangkalan itu menimbulkan rungutan terutama di sektor pelancongan akibat banyak kedai di sempadan kedua-dua negara terpaksa ditutup.
Namun, katanya pihaknya akan cuba menyelesaikan isu ini menerusi perbincangan antara pihak berkuasa kedua-dua negara.
Sementara itu, Paisan memaklumkan Thailand dijadikan negara transit bagi kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia.
Jelas beliau, kedatangan PATI yang kebanyakkannya berasal dari kumpulan etnik Rohingya dari Maynmar ke Malaysia berkemungkinan kerana terdapat permintaan dalam sektor pekerjaan di negara ini, selain mahukan kehidupan yang baik memandangkan keadaan di negara mereka yang tidak stabil.
Pada November lalu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff mengumumkan larangan merentas sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan ke atas mana-mana individu yang menggunakan laluan haram untuk ke Golok, Thailand yang berkuat kuasa 1 Disember, tahun ini.