23 DIS : Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dalam satu daerah yang sama disaran agar tidak memohon projek yang serupa bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI)
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia bagi mengelakkan berlakunya pertindihan dan persaingan yang tidak produktif susulan SejaTi MADANI bertujuan meningkatkan taraf sosial dan ekonomi komuniti setempat.
“Saya mengharapkan janganlah semua memohon satu jenis projek yang sama, biarlah pelbagai dalam satu-satu daerah itu supaya ia boleh memberi manfaat yang lebih menyeluruh.
“Semua permohonan projek akan melalui beberapa peringkat penilaian dengan pihak JKKK dapat berbincang dengan pejabat daerah yang dapat menasihatkan mereka berkenaan projek yang sesuai.
“Ada jawatankuasa yang akan menilai, kemudian akan dibawa ke pejabat SDO (Pejabat Pembangunan Negeri) melalui ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) dan di situlah yang akan meluluskan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan SejaTi MADANI Daerah Lubok Antu pada Ahad.
Setakat ini, 1,124 JKKK memperoleh manfaat program di SejaTi MADANI di Sarawak.
Jelasnya, nilai keseluruhan projek yang dicatatkan sekitar RM100 juta itu membabitkan sektor pertanian dan makanan; jahitan dan kraf tangan; herba dan kesihatan; pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
“Tahun depan, saya harap lebih ramai lagilah yang sedar tentang program ini untuk mula merancang projek mereka.
“Yang penting adalah yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat setempat, boleh mendatangkan pendapatan,” katahnya.
Lebih RM720,000 dana SejaTi MADANI disampaikan kepada lapan JKKK di daerah Lubok Antu bagi pelaksanaan projek pertanian pintar sayur dan jagung, penternakan ikan dan ayam serta program pelancongan dan hospitaliti.