23 DIS : Lembaga Tabung Haji (TH) tidak membenarkan mana-mana agensi dan Pengelola Jemaah Haji (PJH) mengiklan atau mempromosikan pakej haji menggunakan visa mujamalah atau furada.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun berkata larangan tersebut dikeluarkan kerana tidak ada ketentuan kuota bagi mendapatkan visa tersebut.
Beliau berkata, sekiranya pihak TH menerima sebarang aduan berhubung perkara berkenaan, pelaku tersebut bakal berdepan tindakan denda atau dipenjara.
“Cuma yang disahkan (visa yang diberikan) Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Malaysia adalah berjumlah 31,600, itu yang pasti.
“Tetapi visa mujamalah dan furada tiada kepastian berapa jumlah yang akan diberikan dan siapa akan dapat visa. Jadi apabila perkara ini tiada ketentuan, lebih baik PJH tidak mengiklankan visa berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pra Pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-3 di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hisham menjelaskan antara sebab agensi dan PJH tidak dibenarkan membuat promosi adalah bagi mengelak masyarakat tertipu dan terpedaya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihak TH menggalakkan bakal jemaah haji yang ingin menunaikan haji melalui visa mujamalah mendaftar menerusi PJH dilesenkan TH bagi memastikan kebajikan bakal jemaah dapat dipantau semasa di Tanah Suci.
Menurutnya, visa mujamalah atau furada diberikan Kerajaan Arab Saudi kepada individu atau organisasi tertentu yang kebiasaannya dikeluarkan pada saat akhir iaitu pada penghujung Syawal atau Zulkaedah.
“Namun PJH jangan buat promosi visa ini kerana ia selalu disalah guna, tiada kouta menyebabkan jemaah terkandas di lapangan terbang atau luar Malaysia sehingga menyusahkan orang ramai dan kita harap apabila bakal jemaah guna PJH, mereka tidak akan tertipu,”katanya.
Tegasnya, perkara tersebut turut menyalahi akta TH kerana ia tidak dilesenkan dan dikhuatiri orang ramai akan menjadi mangsa penipuan.
Sehubungan itu, Mohd Hisham menggesa orang ramai membuat aduan sekiranya mendengar promosi berkenaan daripada syarikat khidmat haji.