24 DIS : Penularan berita palsu mengenai Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menimbulkan ketidakpercayaan serta persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata situasi ini semakin membimbangkan kerana dikhuatiri turut menjejaskan keharmonian negara.
Sehubungan itu, beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menggesa pengguna media sosial mengambil pendekatan ‘tabayyun’, iaitu mencari hakikat sesuatu maklumat dengan teliti, saksama dan berhati-hati.
“Begitu mudah fitnah atau perkara yang tidak berasaskan fakta tersebar dan membingkai perbincangan ataupun mengukuhkan sesuatu persepsi.
“Ini bukan berkenaan isu mengawal hantaran yang dibuat oleh pengguna, ia mengenai isu pelaku melakukan perkara itu tanpa rasa segan-silu dan bertanggungjawab,” katanya.
Program tersebut turut menampilkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar.
Pada masa sama, Fahmi turut memetik ayat daripada buku Foolproof tulisan seorang pakar University of Cambridge, Sander van der Linden yang menyatakan masalah paling besar yang mengganggu gugat demokrasi di seluruh dunia sekarang ialah berita palsu.
Mengulas mengenai tahun kedua pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Fahmi berkata pelbagai perubahan telah dibawa oleh Perdana Menteri sepanjang dua tahun menerajui Kerajaan Perpaduan.
Katanya, ia termasuk dari segi ekonomi dan pelaburan asing serta pentadbiran kerajaan dan usaha melawan rasuah.
Selain itu, katanya, lebih banyak limpahan ekonomi bakal dinikmati oleh rakyat dalam tempoh dua tahun akan datang selepas pelbagai perancangan yang diumumkan Kerajaan Perpaduan membuahkan hasil.
“Bagi kerajaan, sudah pasti kita perlu beri keyakinan kepada pelabur, limpahan ekonomi kepada rakyat, memperbetulkan bukan hanya cara kita berkomunikasi serta mengajak rakyat untuk memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.