24 DIS : Kementerian Komunikasi menggesa semua penyedia platform dalam talian agar lebih proaktif menyekat sebarang aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang-undang di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan terus menyokong sepenuhnya usaha tersebut bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terpelihara terutamanya kanak-kanak.
Beliau juga menasihati ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial anak-anak terutama kanak-kanak di bawah umur bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Sama-sama kita melindungi generasi muda daripada segala bentuk ancaman dan eksploitasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menahan 13 lelaki secara berasingan di enam negeri kerana disyaki memiliki bahan pornografi dewasa dan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam talian.
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan CSAM yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali jika disabit kesalahan.
Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
Mengulas mengenai hal tersebut, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata penahanan menerusi Op Pedo itu membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak termasuk secara dalam talian.
“Syabas kepada PDRM, khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), serta MCMC atas pelaksanaan operasi bersepadu Op Pedo yang bertujuan menjejaki penjenayah seksual terhadap kanak-kanak di pelbagai platform dalam talian.
“Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah yang mengancam masa depan mereka,” katanya.