24 DIS : Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan siasatan terperinci dijalankan susulan tragedi berdarah yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selaran (PLUS) arah utara di Melaka, malam tadi.
Menterinya, Anthony Loke berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga diarah bertindak sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas terbabit.
“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan maut itu
berpunca daripada tayar sebuah treler yang tercabut.
Keadaan itu menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan.
“Saya bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata siasatan terperinci serta tindakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) dijalankan terhadap syarikat kenderaan terbabit kemalangan itu.
Katanya, ia bagi meneliti pelbagai aspek keselamatan sambil menegaskan JPJ memandang serius trend kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, JPJ akan melipatgandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan terutamanya berkaitan kesalahan teknikal.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Ashari Abu Samah berkata kemalangan maut itu membabitkan sebuah bas membawa 27 penumpang, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga, sebuah Perodua Bezza, sebuah treler dan sebuah lori.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan dikatakan berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah utara ke selatan dipercayai tercabut tayarnya dan berada di lorong tengah jalan.
“Bas yang membawa 27 penumpang dari arah sama itu telah terlanggar tayar berkenaan dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza sebelum bertembung dengan sebuah lagi treler dan MPV dinaiki lapan sekeluarga yang sedang menghala ke utara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa yang maut ialah pemandu Toyota Estima, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; bersama penumpang iaitu isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66 dan isteri, Fauziah Jaafar, 69, pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang juga warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.