24 DIS : Kerajaan akan membuka Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) autisme yang pertama di Malaysia, tahun hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata cadangan pelaksanaan Tabika di Melaka itu diterima baik Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, Tabika itu akan dibuka di setiap daerah dengan memberi keutamaan kepada anak-anak autistik dari golongan B40 terlebih dahulu.
“Kerana antara keluhan yang kita dapati adalah dari segi kos untuk kelas terapi di pusat swasta adalah tinggi dan sangat terkesan untuk ibu bapa ini menghantar anak-anak syurga mereka ke pusat terapi.
“Kita tidak mahu disebabkan kekangan kewangan anak-anak syurga ini tercicir peluang pelajaran mereka. Kita dengar, kita faham dan kita selesaikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Melaka dilaporkan bercadang mewujudkan sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak autistik khusus bagi golongan B40.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata usaha mewujudkan pusat pendidikan untuk kanak-kanak autistik sebelum ini tidak dapat diteruskan susulan berlaku perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Buat masa ini tiada sekolah autisme di bawah naungan kerajaan di Melaka, hanya satu pusat pendidikan dikendalikan pihak swasta di Peringgit dengan yuran kira-kira RM350 untuk seorang pelajar.
“Bagaimanapun tidak ramai ibu bapa mampu untuk menghantar anak ke sana, jadi banyak aduan daripada guru berdepan masalah untuk mendidik anak istimewa ini yang dihantar ke taska biasa,” katanya.