25 DIS : Kementerian Perpaduan Negara bersedia mengetengahkan model perpaduan nasional Malaysia yang unik pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 kelak.
Timbalan Menterinya, K Saraswathy berkata keharmonian pelbagai kaum, budaya dan etnik di Malaysia akan ditekankan sebagai tarikan utama.
Malah katanya, kementerian itu sendiri suatu yang boleh menjadikan Malaysia suatu contoh teladan.
“Kementerian Perpaduan Negara adalah unik kerana hanya ada satu kementerian seperti ini di dunia.
“Pada peringkat antarabangsa, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara berbilang kaum, budaya serta etnik yang mampu mengekalkan tahap perpaduan dan persefahaman sangat tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya, lapor Bernama.
Menurutnya, kejayaan Malaysia memupuk perpaduan turut mendapat pengiktirafan global di mana sebahagiannya adalah usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang giat berinteraksi dengan pemimpin antarabangsa bagi menarik pelaburan ke Malaysia.
“Satu daripada tarikan untuk pelabur ialah perpaduan yang wujud dalam komuniti kita. Negara lain berminat untuk belajar daripada pengalaman kita.
“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, kita berjaya mengatasinya dan muncul sebagai model teladan bagi rantau ini,” katanya.
Katanya, kekuatan Malaysia bukan saja terletak pada tiadanya ketegangan kaum tetapi juga keupayaan negara memupuk keamanan dan keharmonian.
“Apabila kita bercakap mengenai perpaduan, ia bukan sekadar ketiadaan perpecahan. Di sesetengah negara, mungkin tiada perpecahan nyata tetapi wujud ketegangan atau kebencian antara kaum. Itu tidak berlaku di Malaysia.
“Kita telah membentuk masyarakat yang berpaksikan prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya.
Nilai perpaduan perlu dipromosi pada peringkat ASEAN lebih-lebih lagi ketika Malaysia bersiap sedia untuk memimpin blok serantau itu pada 2025.
“Kami ingin menunjukkan bahawa kami bukan saja melabur dalam sumber manusia dan infrastruktur tetapi juga nilai-nilai yang mendukung perpaduan. Ini adalah sesuatu yang boleh kita ketengahkan pada peringkat ASEAN, terutama konsep kehidupan bersama secara harmoni,” katanya.