25 DIS : Kerajaan MADANI memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh sekiranya usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 membuahkan hasil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek dalam keperluan mencari pesawat itu.
Selain itu, katanya ia juga bagi memastikan penggunakan dana rakyat dilakukan dengan berhemah.
“Selepas lebih sedekad pesawat itu hilang dari radar, masih banyak persoalan dan misteri belum terungkai.
“Bukan saja keluarga dan waris, malah rakyat juga berhak untuk mendapatkan jawapan kepada segala persoalan. Justeru itu, kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika pencarian berjaya membuahkan hasil yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.
Pada 20 Disember Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata jemaah Mmenteri pada 13 November lalu secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.
Katanya, operasi tersebut berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, iaitu kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat tidak ditemukan.
Operasi pencarian dasar laut tersebut akan tertumpu di satu lokasi baharu dianggarkan berkeluasan 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.