25 DIS : Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempergiat usaha dalam menjejak pelaku terlibat menyimpan bahan pornografi serta bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata tindakan tersebut akan terus dilakukan dari semasa ke semasa menerusi Op Pedo bagi mencegah kegiatan berkenaan.
Katanya, PDRM juga sedang mengenal pasti sekiranya wujud penglibatan sindiket dalam kegiatan berkenaan atau dilakukan secara individu.
“Kita bekerjasama dengan MCMC bagi mengesan dan mendapatkan maklumat berkaitan.
“Individu lain yang terlibat dalam kegiatan ini juga sedang dikesan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini juga boleh menyalurkannya kepada PDRM bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Bernama, hari ini.
Selasa lalu, Seramai 13 lelaki yang disyaki terbabit dengan pengedaran bahan pornografi dewasa dan CSAM diberkas dalam serbuan berasingan di enam negeri.
Kesemua suspek berusia 20 hingga 74 tahun itu ditahan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.
Hasil pemeriksaan di kediaman kesemua suspek menemui peranti yang digunakan mengandungi kira-kira 40,000 CSAM dan bahan pornografi dewasa.
Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana kesalahan memiliki bahan CSAM serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.