25 DIS : Pesawat Azerbaijan Airlines dilaporkan terhempas di bandar barat Aktau, Kazakhstan hari ini.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 42 terkorban dalam nahas itu dan pesawat J2-8243 berkenaan disahkan membawa 67 penumpang termasuk lima kru.
“Laporan awal mendapati kira-kira 25 mangsa penumpang terselamat dan 22 daripadanya kini dirawat di hospital,” kata Kementerian Kecemasan dalam satu kenyataan di Telegram.
Menurut laporan Agensi, pesawat Embraer 190 itu dilencongkan susulan kabus tebal ketika dalam perjalanan dari Baku ke Grozny di Rusia sebelum cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Aktau.
Sebelum ini tular di media sosial rakaman video pesawat itu terbakar selepas terhempas.
Melalui beberapa perkongsian di media sosial juga menunjukkan beberapa penumpang yang terselamat dalam nahas itu dibawa keluar daripada rangka pesawat berkenaan.
Senarai penumpang menunjukkan pesawat itu dinaiki 37 orang warga Azerbaijan, 16 lagi rakyat Rusia, enam rakyat Kazakhstan dan tiga warga Kyrgyzstan.
Menurut pemerhati penerbangan Rusia, maklumat awal diterima juruterbang terpaksa membuat pendaratan cemas selepas dilanggar burung.
Sementara pihak berkuasa di Astana menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan punca kemalangan itu termasuk kemungkinan masalah teknikal.