25 DIS : Doktor yang merawat mata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan, Datuk Dr Ahmad Shukri Mohamed meninggal dunia.
Berita duka itu dikongsi Perdana Menteri dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
“Innalillahiwainnailaihirajiun. Menerima perkhabaran duka pemergian kenalan keluarga, Datuk Dr Ahmad Shukri Mohamed.
“Almarhum adalah pakar mata yang telah memberi rawatan kepada saya tatkala dibantai di dalam tahanan polis pada tahun 1998,” katanya.
Kata Anwar, Allahyarham merupakan antara saksi yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja sebelum ini.
“Almarhum juga antara yang tampil sebagai saksi memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menafikan tohmahan kononnya saya telah mencederakan diri sendiri.
“Jasa dan keikhlasan Almarhum akan sentiasa terpahat dalam ingatan. Mendoakan keluarganya diberi kekuatan dan semoga Allah mengampunkan dosa Alhmarhum, insya-ALLAH. Al-Fatihah,” katanya.