26 DIS : UMNO Negeri Sembilan menyuarakan cadangan agar pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat dibuat sama rata bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata cadangan itu diusulkan bagi memperkukuh kerjasama antara dua gabungan itu.
“Saya meletakkan asas 18-18 atas asas Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi dan pembahagian tersebut adalah wajar supaya kekuatan luar biasa dapat dihasilkan di Negeri Sembilan.
“Ia sekali gus memberi lebih keyakinan bukan sahaja kepada pemimpin bahkan rakyat di peringkat akar umbi. Ini adalah bersefahaman yang sangat bagus dalam mempertahankan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Penerimaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bina Baharu di Dewan Kemas Jalan Pantai Seremban, hari ini.
Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata meski UMNO sudah biasa bertanding sebagai parti tunggal BN dan tada masalah untuk bertanding solo namun suasana politik sekarang sudah berubah.
“Bukan soal yakin atau tidak, ini soal menghormati kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi pilihan raya. Kerana itu saya beritahu Ketua Pembangkang Negeri Sembilan mesti berdiri atau perlu lebih realistik dalam membuat komen kepada parti lain.
“Jaga parti sendiri, jaga kawasan yang sudah diberi mandat atau PN akan pupus di negeri ini,” katanya.
Sebelum ini Jalaluddin menyuarakan harapan agar rundingan kerusi BN-PH dibahagi sama rata dengan BN mempertahan kerusi sedia ada.