26 DIS : Kerajaan MADANI sudah merangka usaha bagi memastikan tiada rakyat yang dipinggirkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap langkah yang diambil itu bermatlamat untuk membina kehidupan rakyat yang lebih bermakna.
“Antara keutamaan terpenting Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini adalah memastikan kesejahteraan rakyat sebagai tunjang dalam setiap inisiatif yang dirangka dan dilaksanakan.
“Alhamdulillah, kerajaan telah merangka usaha yang jitu untuk memastikan tidak ada rakyat yang dipinggirkan—sama ada orang miskin, anak muda, wanita, warga emas, petani, nelayan, pelajar, kota dan desa.
“Setiap langkah diambil dengan matlamat membina kehidupan rakyat yang lebih bermakna dan bermaruah,” katanya melalui satu hantaran di Facebook, malam ini.
Kerajaan MADANI genap dua tahun pentadbirannya di bawah pimpinan Anwar pada 24 November lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sempat berikrar bahawa Kerajaan MADANI itu akan terus membina masa dengan Malaysia yang lebih terangkum dan gemilang.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi klip video Sorotan 2024 : MADANI Menopang Kesejahteraan Rakyat berdurasi enam minit dan 21 saat.
Beliau mengimbau beberapa inisiatif yang disalurkan kepada rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang merupakan peruntukan terbesar untuk 9 juta penerima.
Selain itu, turut disentuh aspek peningkatan infrastruktur, pendidikan dan bencana di seluruh negara termasuk negeri ditadbir pembangkang.
Ini termasuk peruntukan RM22.5 juta untuk pembinaan dan menaik taraf gerai penjaja; RM133.5 juta bagi Kelantan antaranya bagi menambah baik lapangan terbang dan RM14 juta bagi menaik taraf Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian di Perlis.