27 DIS : Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) tidak dimaklumkan terlebih dahulu berkait pengumuman kenaikan tarif elektrik yang dicadangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat kerajaan berkait kenaikan tarif elektrik di Semenanjung.
“Ingin ditegaskan PETRA tidak dirujuk serta dimaklumkan TNB terkait pengumuman mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung tempoh hari.
“Untuk makluman, tiada sebarang keputusan kenaikan tarif elektrik di Semenanjung yang telah dibuat sehingga kini.
“Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, PETRA bersama-sama Suruhanjaya Tenaga (ST) masih lagi dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrik baharu yang dijangka untuk dilaksanakan bermula Julai 2025.
Menurut Fadillah, semakan terhadap tarif asas elektrik dilaksana disebabkan terdapat keperluan untuk meneliti semula harga bahan api terutamanya arang batu dan gas.
“Kerajaan memberi jaminan penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan dikeluarkan kerajaan,” katanya.
Semalam, TNB dilaporkan mengemukakan makluman kepada Bursa Malaysia mengenai cadang jadual tarif elektrik baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) bagi Semenanjung dilaksanakan mulai 1 Julai 2025.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan bertegas tidak akan membenarkan sebarang kenaikan tarif elektrik yang menjejaskan majoriti rakyat.
Katanya, penyasaran subsidi eletrik yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini hanya melibatkan golongan mahakaya atau industri yang mencatatkan keuntungan tinggi.