28 DIS: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Jumaat menjadi gamat apabila berlaku pertikaman lidah antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan ADUN Rembia.
Ia tercetus apabila Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum memaklumkan tempat duduk ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini di blok kerajaan diubah ke blok pembangkang.
Beliau berkata, langkah itu diambil selepas beliau meneliti beberapa perkara mengenai penyertaan Jailani ke dalam PAS selepas pengumuman Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 16 Julai.
Selepas pengumuman Ibrahim, Datuk Dr Akmal Salleh dari Barisan Nasional (BN) yang juga Exco kerajaan negeri bangun mempersoalkan tindakan Jalaini serta memberi gelaran ‘katak’ kepada beliau kerana bertindak meninggalkan BN dengan menyertai PAS.
Dr Akmal juga menyelar tidakan Jailani yang mengambil masa lama untuk mengumumkan sokongan kepada parti pembangkang iaitu PAS.
“Jadi saya mohon daripada yang berhormat speaker jika ada lagi ADUN yang umum keluar parti tapi tarikhnya kebelakang dua tahun lepas, apakah usul yang kita luluskan akta lompat parti berkuasa ataupun tidak.
“Kita tidak boleh biarkan katak-katak ini, kita luluskan di dewan yang mulia ini akta lompat parti supaya rakyat tahu kita tak boleh biarkan katak-katak ini berleluasa,” katanya semasa sidang DUN Melaka pada Jumaat.
Kemudian Jailani bangun dan menepis dakwaan Dr Akmal dengan menyifatkan panggilan itu sebagai kurang ajar dan tidak mengikut peraturan.
Kemudian laungan ‘katak’ dan ‘pengkhianat’ bergema dalam sidang dewan antara kedua-dua wakil rakyat sebelum ditenangkan Speaker.
Dr Akmal turut menyifatkan tindakan Jailani yang melompat parti sebagai mengkhianati rakyat.
Pada 16 Julai, Takiyuddin mengumumkan penyertaan Jailani ke parti PAS secara rasmi dan berkata keahlian ADUN Rembia itu diterima pada 10 Jun 2023.
UMNO tahun lalu dilapor menggantung keahlian Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor.
Jailani sebelum ini didesak meninggalkan UMNO dan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia disandang berikutan tindakannya menyertai perhimpunan parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.