PM Singapura tiba di Malaysia, lawatan 2 hari
6 JAN : Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong selamat tiba di Malaysia hari ini bagi lawatan rasmi dua hari sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11.
Beliau ditemani isteri, Loo Tze Lui mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.15 petang tadi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyambut ketibaan delegasi Singapura itu.
Mengikut laporan Bernama, pemimpin Singapura itu akan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, esok sebelum diteruskan dengan mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, Wisma Putra memaklumkan kedua-dua negara dijangka akan menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Anwar dan Wong juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura.