8 JAN : Kerajaan menafi dakwaan pembangkang kononnya menyembunyikan titah adendum yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata beliau tidak pernah melihat dokumen itu dipercayai kerana ia melibatkan Lembaga Pengampunan.
“Sejujurnya tidak disorok…saya sendiri sebagai menteri komunikasi tidak ada menerima, melihat ataupun dimaklumkan tentang dokumen tersebut dan saya percaya perkara ini sebab ia melibatkan Lembaga Pengampunan.
“Kita juga mengambil maklum bahawa kes ini dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi. Maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, pelbagai pihak menuntut kerajaan menjelaskan berkait titah adendum itu yang didakwa disembunyikan daripada umum.
Desakan semakin ketara selepas Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan permohonan Najib untuk menyemak semula penghakiman Mahkamah Tinggi bagi mengetahui kewujudan titah itu.
Dalam pada itu, Fahmi berkata perkara berkait titah itu sudah pun dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, bulan lalu.
“Ia seperti yang perdana menteri jawab di Parlimen sewaktu sesi soalan untuk perdana menteri bahawa kerajaan tertakluk kepada prinsip subjudis.
“Maka kita bersetuju dan mematuhi prinsip itu,” katanya.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Beliau memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah untuk Najib menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah.
Katanya, kementeriannya dan Jabatan Penjara hanya menerima arahan bagi mengurangkan tempoh pemenjaraan dan denda bekas perdana menteri itu menerusi surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri yang merupakan sekretariat kepada Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024.