8 JAN : Kerajaan sedang mempertingkatkan usaha untuk memerangi isu penipuan atau scam secara dalam talian di negara ini.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pihaknya akan melaksanakan langkah dengan lebih berkesan serta mengkaji strategi bagi membanteras perkara itu.
Katanya, kerajaan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan akan menangani isu tersebut menerusi Portal Anti-Penipuan Kebangsaan serta mengenakan tindakan tegas terhadap pelaku penipuan.
“Langkah seperti peralihan daripada penggunaan OTP (kata laluan sekali guna) berasaskan SMS (khidmat pesanan ringkas), peraturan pengesahan ketat dan penubuhan talian khas untuk melaporkan penipuan kewangan telah memberikan hasil yang positif. Namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan.
“Kami turut mengkaji strategi untuk masa hadapan dan bertekad untuk melaksanakan langkah-langkah yang lebih berkesan.
“Kami akan terus mengambil tindakan tegas untuk membanteras jenayah scam,”katanya dalam hantaran Facebooknya pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuannya bersama Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying serta wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bank Negara Malaysia pada Selasa.
Nie Ching berkata pertemuan tersebut bagi membincangkan isu mengenai penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di negara ini.
Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan sebanyak 4,699 permohonan menurunkan kandungan di media sosial diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hanya dalam tempoh tujuh hari sehingga jam 9 pagi semalam.
Fahmi berkata 72 peratus daripadanya berkait kandungan judi dalam talian dan 14 peratus lagi berunsur penipuan.