PM alu-alukan pelaburan langsung dari syarikat Indonesia
8 JAN : Malaysia mengalu-alukan pelaburan langsung daripada perusahaan-perusahaan Indonesia dan kolaborasi strategik seperti penggabungan antara syarikat pegangan milik entiti Malaysia dan Indonesia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu mampu mengukuhkan lagi kekuatan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara.
Menurut Anwar, beliau menyuarakan perkara itu semasa menerima kunjungan hormat Pengerusi Sinar Mas, Franky Oesman Widjaja dan rombongannya, petang tadi.
“Saya turut maklumkan bahawa dalam konteks Kepengerusian ASEAN 2025, kejayaan pembangunan infrastruktur merentasi pelbagai negara menuntut keyakinan dan kerjasama utuh antara syarikat-syarikat ASEAN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, Sinar Mas adalah kumpulan perniagaan terkemuka Indonesia dalam tujuh bidang perniagaan iaitu pulpa, kertas, pertanian dan makanan, perkhidmatan kewangan, hartanah, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur serta perkhidmatan kesihatan.
Turut hadir dalam pertemuan itu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.