10 JAN : Tambang bas sekolah sudah tidak lagi dikawal selia Kementerian Pengangkutan (MoT) termasuk melibatkan sebarang perubahan kadar.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata perubahan kadar tambang sama ada naik atau turun merupakan antara persetujuan antara ibu bapa dan pengusaha bas.
“Tambang bas itu bukan di bawah kita. Tidak ada kawalan. Tambang bas itu sudah tidak lagi dikawal selia.
“Itu antara pihak ibu bapa dengan pengusaha bas sekolah. Itu saja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pengumuman perubahan jadual waktu Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter laluan Pelabuhan Klang – KL Sentral dan Pelabuhan Klang di KL Sentral, hari ini.
Terdahulu, Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) dilapor mengumumkan kenaikan tambang bas sekolah bakal antara RM5 ke RM10 bermula bulan depan.
Presiden GPBSM, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata pengusaha bas berhasrat untuk menaikkan tambang namun keputusan akan dibuat dengan persetujuan ibu bapa.