10 JAN : Malaysia dan Jepun memperkukuh hubungan dua hala dengan memuktamadkan kerjasama membangunkan tenaga hidrogen di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif terbaharu yang dipelopori Sarawak melibatkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan PETRONAS itu dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Mei ini.
“Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan dengan sokongan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba kerjasama dalam teknologi baharu dan hidrogen ini akan berjaya.
“Kami berharap dapat menjalankannya secepat mungkin mungkin selewat-lewatnya pada bulan Mei semasa pertemuan kita sama ada di Kuala Lumpur atau Tokyo,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun sempena lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia di Perdana Putra pada Jumaat.
Turut hadir, Abang Johari; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia menghargai kerjasama jangka panjang Jepun menerusi beberapa projek mega di negara ini.
Katanya, ia termasuk kerjasama bersama PETRONAS Liquefied Natural Gas (LNG) dan kini meneruskan kerjasama dalam bidang Carbon Capture Utilization Storage (CCUS) melalui dasar tenaga bersih PETRONAS.
“Malaysia menghargai kerjasama Jepun termasuk kolaborasi penghantaran kargo LNG neutral karbon kepada Shikoku Electric dan Hiroshima Gas.
“Saya turut menyebut tentang pembentukan grid tenaga ASEAN yang melibatkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura serta inisiatif Sarawak untuk membangunkan kabel tenaga bawah laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan juga ke Singapura.
“Sudah tentu usaha ini akan memerlukan penyertaan daripada Jepun selain negara-negara yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Ishiba berkata selain dalam sektor hidrogen, pihaknya ingin menjalinkan kerjasama dalam pembangunan ammonia dan penjanaan tenaga untuk turbin gas dengan Sarawak.
Beliau berkata ia bagi menyokong usaha Jepun ke arah penyahkarbonan serta memperkukuh keselamatan tenaga negara itu.
“Kerajaan Jepun ingin bergerak ke hadapan menerusi kerjasama ini dalam sektor ammonia dan janaan elektrik untuk turbin gas, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) selain hidrogen dan minyak dan gas,” katanya.