10 JAN : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan turun padang bagi meninjau kawasan-kawasan perniagaan yang usang, uzur dan perlu diperbaiki di sekitar Jalan Masjid India.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kawasan itu merupakan tarikan utama pelancong dan ia perlu diberi perhatian.
“Ada kedai yang rosak, ada yang teruk. Saya minta DBKL, Kementerian Wilayah tengok dan segerakan (baik pulih). Ini kawasan tumpuan ramai.
“Ini boleh dilakukan dan diselesaikan menggunakan kaedah fast track bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan pada masa yang sama, membantu peniaga dan penjaja kecil memajukan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita meninjau kawasan sekitar Jalan Masjid India, hari ini.
Kawasan Jalan Masjid India menjadi topik hangat perbincangan selepas kejadian tanah jerlus yang mengorbankan seorang pelancong dari India.
Kini kawasan itu dibuka semula selepas ditutup untuk kerja-kerja baik pulih sebelum ini.
Sementara itu, Anwar sempat meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjuan kawasan tersebut dan beramah mesra dengan orang ramai di sekitar.
Beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid India yang dihadiri lebih 5,000 jemaah di mana khutbah disampaikan hari ini bertajuk ‘Memuliakan Rejab, Menggarap Mustajab’ oleh imam Nasrul Haq Abdul Latif.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim