Kerajaan MADANI komited perkukuh ekonomi, sosioekonomi
11 JAN : Kerajaan MADANI akan terus komited untuk memperkukuh ekonomi negara dan sosioekonomi rakyat.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga memperhebat citra negara selaku Pengerusi ASEAN.
“Kerajaan MADANI terus komited dalam merencana dan melaksana segala usaha bagi memperkukuh ekonomi negara, sosio-ekonomi rakyat dan memperhebat citra negara selaku Pengerusi ASEAN demi kemakmuran bersama rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas soal kunjungan tiga pemimpin dari negara luar ke Malaysia, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan minggu ini sebagai penuh bermakna kepada negara.
“Alhamdulillah, minggu yang penuh bermakna dan produktif buat Malaysia apabila kita menerima kunjungan pemimpin negara-negara sahabat Singapura, Indonesia dan Jepun,” katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong tiba di Malaysia bagi lawatan rasmi diikuti Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba yang menamatkan lawatan kerjanya selama dua hari, semalam.
Sementara pada Khamis, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengadakan pertemuan makan tengah hari dengan Anwar bagi membincangkan beberapa perkara sebelum dijadualkan untuk lawatan rasmi pada hujung bulan ini.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Menurut Anwar, pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negara lain itu dapat membuka kepada lembaran kerajasama baharu.
“Selain mengukuhkan lagi hubungan erat yang sedia terjalin, pertemuan dan perbincangan tertumpu kepada lembaran kerjasama baharu yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.
Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN bermula 1 Januari 2025 dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim