Urus Projek LRT Laluan Mutiara tanpa ketirisan
11 JAN : Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang dikendalikan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) perlu diurus dengan cekap dan telus tanpa sebarang ketirisan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya proses pembinaan LRT itu dapat disegerakan sekiranya MRT Corp mengekalkan rekod baik dan bersih syarikat itu.
“Pulau Pinang selaku hab semikonduktor yang penting harus menuntut penyertaan yang lebih, syarikat luar yang melabur perlu disediakan infrastruktur baik termasuk pengangkutan.
“Saya harap MRT Corp yang diamanahkan menjalankan kerja mereka, mengekalkan rekod mereka telus bersih, cekap, mengurus dengan baik tanpa apa-apa ketirisan dan saya percaya projek ini akan dapat disegerakan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di Georgetown,Pulau Pinang, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.
Pada Mac 2024, Kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dan keputusan itu dicapai susulan keputusan jemaah menteri yang meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan.
Ia meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km) merangkumi 21 stesen di lokasi-lokasi yang strategik termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A) dijangka beroperasi pada 2031.
Penjajaran yang bermula dari PSR-A merangkumi dua stesen terminus iaitu di Penang Sentral dan KOMTAR dengan kedua-dua laluan ini akan beroperasi secara selari menerusi penjadualan bergilir, memastikan perjalanan yang lebih lancar dengan masa perjalanan dioptimumkan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pembinaan LRT pertama di Pulau Pinang itu bakal menjadi satu detik bersejarah tidak hanya kepada penduduk Pulau Pinang, malah seluruh rakyat Malaysia.
Mengulas mengenai pengambilalihan sebahagian kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong bagi projek LRT itu, Anwar meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik.
Beliau mengakui tapak pesta tersebut mempunyai nilai sentimental bagi penduduk Pulau Pinang namun perubahan perlu diterima demi kemajuan di negeri itu.
“Orang Pulau Pinang ini sangat sentimental. Mereka mahu kemajuan, tapi dalam masa yang sama mereka ingin kekalkan elemen lama yang mencerminkan identiti negeri.
“Jadi, sebarang pembangunan perlu diselaraskan supaya modernisasi ini selari dengan nilai budaya dan seni unik Pulau Pinang.
“Saya telah minta dan saya percaya ketua menteri berbincang bagaimana boleh kita membuat sedikit penyesuaian sekiranya perlu untuk menyelamatkan kalau tidak sepenuhnya, sebahagian daripada Tapak Pesta,” katanya.
Terdahulu,Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan sebahagian kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong dalam perancangan untuk diambil alih bagi mendirikan depoh projek LRT Laluan Mutiara dan ia telah dibentangkan MRT Corp selaku pemaju dan pemilik aset kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun katanya ia masih di peringkat cadangan.
Dalam perkembangan lain, Anwar memberi jaminan kerajaan kerajaan akan menyegerakan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bagi memenuhi keperluan pelancongan dan industri yang semakin meningkat.
Menurut beliau, pembesaran lapangan terbang itu penting bagi usaha menyokong tarikan kumpulan pelabur dan penggiat industri termasuk syarikat logistik.
“Ini selari dengan aspirasi kita untuk menjadikan Pulau Pinang lebih moden tetapi tetap kaya dengan elemen budaya,”katanya.