11 JAN : Titah adendum berkait bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikembalikan ke Istana Negara selepas berlaku pertukaran Yang di-Pertuan Agong, Januari tahun lalu.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mendedahkan perkara itu ketika berucap pada Program Muhibbah Madani, hari ini.
Menurutnya, titah itu dihantar terus kepada Peguam Negara bukannya kepada perdana menteri mahu pun ahli Lembaga Pengampunan sekali gus menepis dakwaan beliau menyorok surat tersebut.
“Surat itu dihantar kepada Peguam Negara bukan kepada saya, bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan.
“Apabila Agong berganti, diserah kepada Istana Negara kerana Agong yang pengerusikan (Lembaga Pengampunan). Itu keadaannya. Bukan kita sorok,” katanya.
Ketika itu Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh merupakan Peguam Negara yang berkhidmat dari 6 September 2023 hingga 11 November lalu.
Titah tambahan itu didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Najib boleh mengemukakan permohonan baharu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Inilah keadaannya…setakat itu sahaja, sudahlah. Apakah Najib tidak boleh buat rayuan? Boleh kepada Agong baharu. Apa Agong kata? Boleh. Rayu kepada Tuanku,” katanya.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menemplak tindakan pembangkang yang terus-terusan memainkan isu itu seolah-olah mahu menjadi ‘hero’.
“apa yang menjadi masalah, kenapa nak berpecah? Yang nak tumpang ini siapa? Bersatu dengan PAS.
“PAS ini punya hentam Najib dari rambut sampai kaki. Sekarang ini, depa junjung kerana semata-mata politik. Prinsip di mana? Islam itu di mana? Melayu itu di mana?
“Saya jelaskan sebab terlalu banyak sangat fitnah, semua orang nak jadi hero. Kalau nak jadi hero…hero rakyat. Bela orang susah yang ramai. Orang susah ditangkap, mana dia pejuang-pejuang ini?,” katanya.
Isnin lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun 2024.
*OLEH : NUR EISYA