11 JAN : Mahkamah melepaskan tanpa syarat bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang akan mengangkat sumpah selepas disabitkan dengan 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan, lapor UPI.
Trump yang dijadual mengangkat sumpah 20 Januari ini menghadiri sesi itu bagi mendengar hukuman secara maya.
Laporan media antarabangsa menyebut, keputusan tersebut mengikut cacangan pihak pendakwa.
Hakim Mahkamah Agung New York, Juan Merchan semasa menjatuhkan hukuman menyifatkan kes itu sebagai luar biasa.
“Kes ini adalah luar biasa. Namun, sebaik sahaja pintu mahkamah ditutup, perbicaraan ini tidak lagi istimewa, unik atau luar biasa berbanding 32 kes lain di mahkamah ini,” katanya.
Menurut Pendakwa Raya, Joshua Steinglass hukuman yang dicadangkan itu bermaksud Trump tidak akan dipenjara atau diletakkan di bawah parol.
Media sebelum ini melaporkan Trump mungkin berdepan hukuman penjara, tahanan rumah, atau percubaan.
Kes Trump berpunca daripada cubaan menyembunyikan pembayaran yang dibuat bagi menutup mulut pelakon filem dewasa, Stormy Daniels semasa kempen pertamanya untuk jawatan Presiden itu.