11 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas tidak akan membenarkan kenaikan premium insurans kesihatan tanpa alasan munasabah.
Beliau memberi penegasan itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Blok Baharu Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, hari ini.
“Kalau saya sendiri tidak yakin kenaikan itu munasabah, saya tidak akan pertahankan dan saya tidak akan izinkan. Ini prinsip kita…sebab sementara premium insurans itu dinaikkan, mesti ada alasan yang munasabah.
“Antara yang paling tidak munasabah ialah kadar… ia perlu ada standard sebagaimana banyak negara buat seperti Georgetown University Hospital, Washington.
“Kalau ia bagi ‘stent’ (penyakit jantung), gerenti dua atau lima tahun dan jika ada masalah dalam tempoh dua tahun, hospital itu wajib beri pengurangan. Kita kena ada mekanisme macam itu,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata rundingan semula dengan syarikat insurans serta pengendali takaful (ITO) masih berjalan susulan kenaikan caj premium insurans 40 hingga 70 peratus yang dikenakan terhadap pengguna.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Menurut Anwar, kos yang tinggi dikenakan terhadap pesakit bukan disebabkan pakar perubatan namun kerana bilik hospital yang digunakan.
Beliau turut menyinggung penggunaan bilik hospital bertaraf tiga bintang namun dikenakan caj bertaraf lima bintang.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan mahu kerjasama hospital swasta bagi menangani perkara itu.
“Doktor-doktor perlu ingat bahawa tidak timbul soalan sama ada mempunyai insurans atau tidak…kalau kos itu, itulah… kalau kos RM1,000, (maka) RM1,000 lah…tidak perlu dibezakan. Memang kenyataan saya ini tidak popular tetapi kita harus menerima kenyataan,” katanya.
Selain itu, Anwar mencadangkan pihak pengurusan kesihatan awam dan swasta melabur dalam syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan mengeluarkan ubat-ubatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada syarikat pengeluar ubat luar negara lebih mahal.
“Mengapa harus kita terbeban dengan kebergantungan pada jenis ubat dari Amerika dan Eropah?
“Kita perlu mencari alternatif lain yang generik dan boleh diterima. Misalnya, Brazil, India, Turkiye dan China adalah negara terkenal mengeluarkan ubat generik yang jauh lebih murah,” katanya.
Tahun lalu, Anwar mengumumkan pembatalan komitmen pembelian ubat dengan beberapa syarikat yang monopoli bekalan perubatan di negara ini dalam usaha menangani isu kos perubatan yang meningkat.