11 JAN : Yayasan Muhibah Malaysia hari ini menyampaikan sumbangan kepada 2,000 pelajar dan anak yatim serta 6,500 keluarga yang memerlukan yang disumbang Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (Ko-Khawan).
Pelajar daripada keluarga B40 dan anak yatim itu menerima kelengkapan sekolah sementara bantuan barangan dapur dan keperluan asas bernilai RM100 untuk keluarga dari Parlimen Permatang Pauh terbabit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu wajar diberi pujian kerana memberi manfaat kepada rakyat.
“Terima kasih kepada Yayasan Muhibah dan Yayasan Global Mesra kerana mengambil inisiatif serta bekerjasama dengan Bank Rakyat dan MBSP termasuk kerajaan negeri untuk menyelaras serta memudahkan.
“Program ini bukan saja menyantuni rakyat malah membabitkan banyak inisiatif daripada badan sukarela. Sebab itu saya pilih untuk hadir memberi dukungan kepada usaha yang baik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Muhibbah MADANI 2025 yang berlangsung di pekarangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), hari ini.
Yayasan Muhibah Malaysia ditubuhkan tahun lalu dengan misi membantu golongan kurang bernasib baik termasuk anak yatim, ibu atau bapa tunggal dan pelajar daripada keluarga B40.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim