13 JAN : Kekuatan sesebuah negara majmuk terletak pada sikap rakyatnya yang hormat-menghormati, toleransi serta menerima antara satu sama lain.
Bagi mencapai matlamat itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bermula semalam dilaksana bagi memupuk sifat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan belia.
Katanya, ia sejajar dengan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu rakyat Malaysia memupuk rasa cinta antara kaum di negara ini.
“Negara kita merupakan sebuah negara majmuk, kekuatan negara hanya boleh datang sekiranya rakyatnya mempunyai semangat hormat-menghormati, toleransi menerima antara satu sama lain, seperti apa yang perdana menteri kata bukan saja soal kenal tetapi sayang dan cinta antara satu kaum dengan kaum yang lain, maka hanya dengan demikian baru negara kita kuat.
“Kerajaan memperkenalkan semula PLKN dengan format baharu yang bermatlamat membentuk generasi muda yang patriotik, mengamal nilai-nilai murni, mempunyai semangat perpaduan, berbudaya kesukarelawanan dan menyokong aspirasi pertahanan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perjumpaan bersama pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di ibu negara pada Ahad.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan program yang dihidupkan semula selepas tujuh tahun dimansuhkan itu bermula di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur selama 45 hari bermula hari ini hingga 25 Februari.
Katanya, PLKN 3.0 Siri 1/2025 menyaksikan penglibatan seramai 120 orang pelatih yang berdaftar sukarela yang terdiri daripada 80 pelatih lelaki dan 40 pelatih wanita berusia di antara 18 hingga 25 tahun termasuk 13 orang yang datang secara ‘walk-in’ pada hari pendaftaran.
Justeru itu, Khaled berharap agar PLKN 3.0 berjalan lancar serta mencapai matlamatnya dan katanya persediaan kerajaan terhadap program itu berada pada tahap terbaik.
Ini termasuk persediaan dari segi penginapan, kesihatan dan makanan yang disediakan kepada pelatih demi memastikan program berkenaan berjalan lancar.
“Program hari ini adalah program perintis dan akan ada lagi tiga siri latihan PLKN pada tahun ini dan kita akan meneliti perjalanan kesemua siri latihan ini dan akan melakukan penambahbaikan jika terdapat sebarang kekurangan,” katanya.
MINDEF dalam satu kenyataan memaklumkan PLKN 3.0 Tahun 2025 akan dimulakan dengan tiga siri di dua kem yang berbeza iaitu Siri 2/2025 akan dilaksanakan pada 11 Mei hingga 24 Jun manakala Siri 3/2025 akan dilaksanakan pada 7 September hingga 21 Oktober di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah.
“Sepanjang program PLKN 3.0, pelatih akan diberikan pendedahan terhadap latihan fizikal, mental dan sivik di mana modul-modul latihan mengintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan serta 30 peratus Komponen Kenegaraan.
“Bagi modul Latihan Asas Ketenteraan para pelatih akan dilengkapkan dengan kemahiran asas ketenteraan, dasar keselamatan negara, asas kesejahteraan hidup Malaysia MADANI dan kemahiran kepimpinan.
“Modul Komponen Kenegaraan akan mendedahkan pelatih dengan latihan tentang elemen jati diri, patriotisme dan memperkukuh perpaduan,” kata MINDEF.
PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program yang menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun melibatkan purata perbelanjaan RM600 juta setahun.
Program itu kemudiannya dihentikan selama setahun pada 2015 susulan langkah rasionalisasi perbelanjaan, namun diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 orang setahun sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018.