13 JAN : Kerajaan akan memfailkan permohonan perintah larangan bersuara (gag order) berkait kes titah adendum.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata permohonan itu akan difailkan di mahkamah pada 20 Januari ini bagi melarang mana-mana perbincangan dibuat terhadap kes itu.
Menurut Shamsul, tindakan itu bagi melindungi institusi diraja susulan isu itu menyentuh raja, agama dan kaum (3R).
Selain itu, Shamsul berkata kerajaan juga akan membantah permohonan tiga peguam sebagai pemerhati iaitu Tan Sri Azhar Azizan Harun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Zulkifli Noordin yang mewakili wakil rakyat Perikatan Nasional.
Isnin lalu, kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun 2024.
Prosiding itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatulakmal Abdul Aziz.
Titah tambahan itu didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.
Sementara itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihaknya akan membantah permohonan itu dengan menyifatkan kes itu membabitkan kepentingan awam.