Rakyat Malaysia cedera dalam letupan bom di Pattani
13 JAN : Seorang rakyat Malaysia antara yang cedera dalam kejadian letupan bom berdekatan Balai Polis Daerah Mueang Pattani, Wilayah Pattani, Selatan Thailand pagi tadi.
Lelaki berusia 20 tahun berasal dari Kuala Lumpur itu cedera selepas terkena serpihan cermin keretanya yang pecah impak daripada letupan tersebut.
Enam anggota sukarelawan pertahanan turut cedera dalam kejadian yang berlaku selepas rutin perbarisan anggota polis di balai tersebut, kira-kira jam 8 pagi.
Ketua Polis Mueang Pattani, Kolonel Polis Jeffery Sulaiman berkata mangsa berada dalam sebuah kereta ketika kejadian berlaku sementara menunggu isterinya yang sedang membuat laporan kehilangan dokumen perjalanan di balai berkenaan.
“Jarak kereta mangsa dari lokasi letupan hanya sekitar 10 meter menyebabkan cermin kenderaan itu pecah akibat impak letupan.
“Polis sedang giat menjalankan siasatan bagi menjejaki dalang kejadian,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bom itu dipercayai dipasang pada sebuah motosikal yang diparkir berhampiran balai polis.
Kesemua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Pattani.
Foto : Abdullah Benjakat