13 JAN : Jabatan Peguam Negara (AGC) menasihatkan semua pihak menghormati prosiding mahkamah melibatkan semakan kehakiman berkait titah adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan, AGC berkata semasa pengurusan kes itu, hari ini, Mahkamah Tinggi memberi arahan berkaitan pemfailan afidavit bagi permohonan substantif semakan kehakiman itu.
Mahkamah Tinggi menetapkan pengurusan kes semakan itu secara dalam talian pada 11 Mac depan.
“Dalam hal ini, semua pihak adalah dipohon untuk menghormati prosiding mahkamah tersebut.
“Mahkamah Tinggi juga memberikan arahan kepada responden-responden berkaitan pemfailan notis permohonan bagi perintah perlindungan dan perintah sekatan.
“Mahkamah Tinggi juga memberikan arahan kepada pihak pemantau kes (watching brief) untuk memfailkan notis permohonan supaya hadir mendengar kes ini berserta arahan pemfailan afidavit yang berkaitan,” kata AGC.
Pengurusan kes pertama di Mahkamah Tinggi ditetapkan hari ini selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Dalam permohonan semakan itu, Najib memohon perintah mandamus supaya diberi jawapan dan mengesahkan kewujudan dokumen tambahan yang bertarikh 29 Januari tahun lalu yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.