13 JAN : Salah guna logo halal merupakan kesalahan serius dan bakal berdepan tindakan undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan apa-apa isu melibatkan integriti dan kepentingan awam.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa dukacita dengan kejadian yang berlaku di premis jualan runcit 24 jam yang terletak di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan label logo halal pada produk adalah satu kesalahan yang serius.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin memberikan peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan label logo halal pada mana-mana produk yang dikeluarkan.
“Tindakan menyalahgunakan label logo halal adalah suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, JAKIM mengesahkan produk ‘Ham and Cheese sandwich’ yang tular selepas diragui status halalnya itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang sijil tersebut.
Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan penguatkuasaan terhadap pihak terlibat.
Orang ramai juga diminta sentiasa merujuk JAKIM dan pihak berkuasa agama Islam negeri dalam isu berkait halal.