14 JAN : Kos membaiki jalan rosak akibat banjir di beberapa negeri yang terjejas pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini mencecah RM101.57 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pecahan kos melibatkan RM45.37 juta di Semenanjung sementara di Sabah dan Sarawak RM56.2 juta.
Katanya, di Semenanjung kerja pembaikan jalan berkala pavemen dengan kos sebanyak RM15.7 juta dan bukan pavemen (RM26.97 juta), jambatan (RM1.5 juta) serta lampu isyarat dan lampu jalan (RM1.2 juta).
Manakala di Sabah kerja pembaikan jalan berkala pavemen RM35.72 juta dan bukan pavemen RM9.78 juta dan di Sarawak pembaikan jalan berkala pavemen RM6.55 juta serta bukan pavemen RM4.15 juta.
Sementara kos pembaikan cerun runtuh di tiga negeri yang terjejas banjir melibatkan Kelantan, Perak dan Terengganu menelan kos RM41 juta.
“Secara keseluruhan, ada sembilan lokasi terkesan dan mengalami kerosakan akibat MTL, termasuk insiden cerun runtuh. Ia membabitkan masing-masing dua lokasi di Kelantan serta Terengganu dan lima lagi di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Kementerian Kerja Raya(KKR), hari ini.
Dalam ucapannya, Alexander berkata KKR mensasarkan projek sakit sifar bagi tahun ini.
“Meskipun secara nisbah puratanya, jumlah projek sakit adalah kecil berbanding projek siap, namun ini tidak bermakna kita boleh berpuas hati dan berasa bangga. Mungkin ada yang kata mustahil sifar tetapi kita mesti ada sasaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya akan menggunakan sistem merit bagi mengukur tahap prestasi dan akauntabiliti syarikat konsesi serta kontraktor dalam pelaksanaan tugas mereka.
“Keberkesanan dalam pengurusan projek dan penyenggaraan jalan adalah antara faktor utama yang sering dinilai oleh rakyat.
“Penelitian lanjut mengenai sistem merit itu akan dibincangkan secara lebih komprehensif pada peringkat pengurusan kementerian bersama pihak konsesi dan kontraktor agar satu kata sepakat dapat dicapai bagi merealisasikan pelaksanaan sistem berkenaan,” katanya.
KKR juga katanya akan memperkenalkan ‘platform pengurusan digital’ bagi membolehkan setiap aspek projek dipantau secara telus dari fasa perancangan hingga ke fasa penyelenggaraan.
“Kita juga boleh memanfaatkan sistem data besar (big data) untuk menganalisis prestasi projek dan mengenal pasti potensi pembaikan sebelum masalah timbul.
“Dengan pengurusan lebih sistematik, kita yakin setiap projek yang dilaksanakan akan memberi impak maksimum kepada masyarakat dan negara,” katanya.