15 JAN : Pegawai polis berpangkat inspektor dan ke atas mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit orang awam dan perkara itu tidak sepatutnya dipertikai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kuasa itu termaktub dalam Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah.
Perkara itu dibenar berdasarkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Seksyen 249 AKM memberi kuasa untuk mendapatkan akses kepada data berkomputer, termasuk telefon bimbit.
“Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa untuk mengakses telefon bimbit yang ditakrifkan juga sebagai data berkomputer, ketika membuat pemeriksaan ke atas seseorang yang disyaki melakukan apa jua kesalahan jenayah.
“Namun, kuasa memeriksa ini diberikan kepada pegawai polis tidak rendah daripada pangkat inspektor,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian bagi mengulas video tular individu mempertikai tindakan polis menahan dan memeriksa telefon bimbit.
Menurut Razarudin, dalam Seksyen 20(g) Akta Polis pula individu diperiksa perlu mempamerkan maklumat apabila diminta pegawai polis.
“Justeru, tiada pihak boleh mempertikaikan kuasa memeriksa telefon bimbit ketika sekatan jalan raya, namun ia mesti dibuat secara berhemah dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, bukan sesuka hati tanpa sebab munasabah.
“Selain itu, Seksyen 292 Kanun Keseksaan boleh digunakan ketika memeriksa telefon bimbit sekiranya hasil pemeriksaan menjumpai bahan-bahan lucah dan ia merupakan suatu kesalahan boleh ditangkap tanpa waran.
“Begitu juga jika terdapat aplikasi judi dalam talian dalam telefon bimbit seseorang, ia adalah satu kesalahan jenayah boleh ditangkap tanpa waran mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Menurutnya, polis juga boleh menjalankan pemeriksaan tanpa waran juga jika mempunyai sebab munasabah bahawa kelewatan dalam memperoleh waran geledah akan menjejaskan penyiasatan seperti bukti dirosakkan atau dimusnahkan pemiliknya.
“Dalam kes sedemikian, pihak polis boleh mengambil telefon berkenaan terlebih dahulu untuk diperiksa kemudian, dan keengganan memberi kerjasama boleh menyebabkan seseorang itu ditahan kerana menghalang tugas polis.
“Telefon bimbit diambil daripada orang awam harus untuk tujuan siasatan yang relevan dengan sesuatu kes yang disiasat atau mengesyaki suatu kesalahan telah dilakukan seseorang.
“Kesimpulannya, polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit seseorang jika ada laporan polis dibuat terhadapnya, ada siasatan dijalankan terhadapnya ataupun polis mengesyaki orang itu terbabit perlakuan jenayah, selari dengan Seksyen 3(3) Akta Polis berkaitan peranan dan tanggungjawab polis,” katanya.