15 JAN : Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol ditahan pihak berkuasa republik itu hari ini atas pertuduhan hasutan susulan pengisytiharan undang-undang tentera, 3 Disember lalu.
Yoon dalam satu kenyataan memaklumkan beliau menyerahkan diri untuk disoal siasat bagi mengelakkan sebarang keganasan setelah lebih 3,000 anggota polis mengepung kediamannya sejak awal pagi Rabu untuk menahannya.
“Apabila saya melihat mereka memecah masuk kawasan dengan kawalan keselamatan menggunakan peralatan pemadam api hari ini, saya memutuskan untuk memberi kerjasama kepada siasatan CIO.
“Meskipun ia adalah siasatan yang tidak sah, keputusan dibuat demi mengelakkan pertumpahan darah yang tidak diingini,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan kediaman yang menjadi tempat perlindungan Yoon selama beberapa hari dikawal ketat pasukan keselamatan peribadinya selain dilindungi kawat berduri.
Kenderaan rasmi Yoon dilihat meninggalkan kediaman tersebut sebelum beliau dilaporkan tiba di pejabat agensi anti-rasuah untuk proses siasatan.
Sementara itu, Peguam Yoon mendakwa penahanan pemimpin itu tidak sah dan hanya bertujuan untuk memalukannya secara terbuka.
Waran tangkap dikeluarkan terhadap Yoon merupakan yang pertama dalam sejarah membabitkan presiden yang masih berkhidmat.
Pada bulan lalu, Yoon mencetus kekecohan apabila mengisytiharkan undang-undang tentera yang menyebabkan pergolakan politik serius berlaku.
Ahli-ahli Parlimen Korea Selatan kemudiannya mengundi agar Yoon dipecat dan melucutkan jawatannya pada 14 Disember.
Mahkamah Perlembagaan Korea akan mempertimbangkan untuk mengesahkan pemecatan berkenaan.