15 JAN : Jelajah Sumbangan MADANI akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata jelajah sumbangan tersebut akan dilaksanakan oleh beliau atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di semua negeri termasuk kawasan Parlimen pembangkang.
Katanya, Jelajah Sumbangan Ihsan MADANI merupakan salah satu inisiatif perdana menteri bagi membantu golongan memerlukan di kesemua 222 kawasan parlimen.
“Kita akan lakukan jelajah ini sehingga ke pilihan raya seterusnya, kita akan pecah kawasan. Kawasan mana perdana menteri boleh turun padang, beliau akan turun. Jika tidak, ada pegawai dari pejabat perdana menteri akan uruskan.
“Sekurang-kurangnya kita tahu apa permasalahan kawasan-kawasan tersebut, tidak kira lah kawasan pembangkang atau tidak. Kita cuba bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Sumbangan Ihsan MADANI yang di adakan di Kangar, Perlis, hari ini.
Menerusi jelajah ini, Azman berkata perdana menteri berharap keluhan dan masalah rakyat dapat didengari secara lebih dekat.
Selain itu, katanya Anwar turut berharap agar sumbangan tersebut dapat meringankan beban para penerima dalam perbelanjaan harian.
Dalam pada itu, Azaman berkata sumbangan tersebut merupakan bantuan tambahan kepada segelintir rakyat selain Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Jelas beliau, sumbangan tersebut disalurkan secara bersasar dengan memilih 200 orang penerima yang layak di setiap Parlimen.
Ia juga turut memberi manfaat kepada golongan asnaf, ibu tunggal, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Seramai 600 orang penerima menerimbang sumbangan RM200 setiap orang merangkumi tiga kawasan Parlimen.
Jelajah Sumbangan Ihsan MADANI menerusi Program Bantuan One-Off Asnaf Perdana Menteri bermula di Arau sebelum diteruskan ke Padang Besar, Perlis.
Sebelum itu, program tersebut memulakan jelajahnya untuk tahun ini di Alor Setar, Kulim dan Gurun, Kedah.