15 JAN : Malaysia akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama pelaburan asing susulan komitmen Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata langkah itu adalah bukti keyakinan pelaburan asing terhadap prospek ekonomi negara yang kukuh.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengumumkan sebelum ini bahawa beberapa pihak termasuk ADIA berhasrat meningkatkan jumlah pelaburan, dan susulan pengumuman itu, kita ada membaca mengenai pengumuman tambahan pelaburan kepada syarikat Malaysia iaitu Yinson (Yinson Holdings Bhd).
“Ini sudah pasti menunjukkan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelaburan asing termasuk oleh badan seperti ADIA daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri di Putrajaya, hari ini.
Semalam, dilaporkan anak syarikat milik penuh tidak langsung Yinson iaitu Yinson Production Offshore Holdings Ltd (YPOHL) memperoleh pelaburan berjumlah AS$1 bilion (RM4.48 bilion) daripada konsortium firma pelaburan antarabangsa untuk memacu pertumbuhan selanjutnya.
Menurut Yinson, pelaburan itu disertai dengan pilihan untuk meningkat kepada AS$1.5 bilion dalam tempoh 24 bulan.
Konsortium pelabur itu merangkumi Platinum Lily B 2024 RSC Ltd, anak syarikat milik penuh ADIA, dana yang diuruskan oleh British Columbia Investment Management Corporation (BCI) dan RRJ Group.
ADIA adalah antara dana kekayaan terbesar di dunia dengan aset dianggarkan melebihi AS$1 trilion.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Anwar kini di United Kingdom bagi lawatan rasmi selama lima hari.
“Selepas itu beliau akan ke Brussels pada 19 Januari untuk bertemu Perdana Menteri Belgium (Alexander De Croo) dan Presiden Majlis Eropah (Antonio Costa) dan akhir sekali ke Davos bagi Forum Ekonomi Dunia sebelum kembali ke tanah air pada 23 Januari,” katanya.
Mengulas tentang mesyuarat jemaah menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, Fahmi berkata kepengerusian ASEAN 2025 antara yang dibincangkan di mana mesyuarat pemukiman menteri-menteri luar akan diadakan di Langkawi pada 18 dan 19 Januari ini.
Katanya, ia merupakan mesyuarat pertama daripada lebih 300 mesyuarat rasmi yang akan diadakan sepanjang tahun ini.
“Ini adalah mesyuarat pertama yang mana Bernama akan bertugas sebagai penyelaras media rasmi, manakala RTM akan menjadi penyiar rasmi sepanjang program kepengerusian ASEAN.
“Ini sudah pasti adalah satu kebanggaan untuk kita dan Insya-Allah kita akan menjadi hos yang baik kepada semua delegasi yang akan datang pada sepanjang tahun ini,” katanya.