CPTPP peluang tingkat perdagangan Malaysia-UK
16 JAN : Malaysia melihat penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) Disember lalu membuka peluang meningkatkan hubungan perdagangan antara kedua negara.
Malaysia meratifikasi CPTPP pada Oktober lalu bagi menyertai Peru, Jepun, Singapura, Chile, New Zealand dan Vietnam.
Di bawah perjanjian ini, tarif bagi produk-produk dalam kalangan negara anggota akan dikurangkan kepada sifar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mahu mempromosikan integrasi ekonomi serantau.
“Kita telah berjaya menyertai CPTPP, sementara ia mengambil kira tanggungjawab politik yang serius antara UK dan Malaysia dalam memberikan fokus pembangunan ekonomi antara kedua-dua negara untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran Projek Brabazon New Town yang akan dilaksanakan di Bristol pada Rabu.
Projek bandar baharu lestari itu dibangun firma dari Malaysia, Kumpulan YTL dengan nilai pelaburan £4 bilion (RM21.96 bilion) bagi tempoh lima tahun.
YTL membuat pelaburan pertama di UK pada tahun 2002 dengan pengambilalihan Wessex Water.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata CPTPP menjadi saluran kritikal untuk memudahkan pelaburan serta perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK).
“Ini adalah manfaat susulan perjanjian tersebut sebagai tanda komitmen politik serius yang memberi tumpuan kepada asas ekonomi demi kepentingan kedua-dua negara untuk menggalakkan perdagangan bebas,” katanya.
Menurut Anwar, Malaysia antara lokasi penting yang perlu berada dalam radar para pelabur dunia mengambil kira polisi kerajaan yang kritikal terhadap tenaga, kecerdasan buatan dan semikonduktor selain faktor kestabilan politik.
“Untuk refleksi transisi kemajuan ekonomi dan kejayaan, Malaysia perlu sokongan para pelabur tempatan dan luar negara disokong dengan faktor kestabilan dan keharmonian benua ASEAN yang dahagakan sinergi pelaburan serta perdagangan baharu,” katanya.
Isnin lalu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Zakri Jaafar berkata produk Malaysia khususnya minyak sawit dijangka akan mendapat manfaat daripada akses bebas tarif di UK di bawah CPTPP.