16 JAN : Malaysia menyeru agar bantuan kemanusiaan segera dapat disalurkan kepada rakyat Palestin susulan pengumuman gencatan senjata yang bakal bermula Ahad ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat negara itu memerlukan bantuan segera ketika berdepan krisis termasuk bekalan makanan dan air bersih.
“Kami menyeru agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera kepada rakyat Palestin yang kini berdepan dengan krisis bekalan makanan, sumber air bersih, bahan api serta keperluan perubatan dan kesihatan.
“Kami juga berharap usaha restorasi pasca perang dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk membantu lebih 2.3 juta penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang berpanjangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani mengumumkan perjanjian gencatan senjata berjaya dicapai untuk 42 hari bagi fasa pertama bermula Ahad ini dengan Israel dan Hamas akan membebaskan tawanan masing-masing.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dapat memainkan peranan memastikan kestabilan dan keamanan.
“Sebagai negara yang sentiasa mendukung perjuangan Palestin, Malaysia tetap berpendirian tegas menentang sebarang bentuk pendudukan secara haram di Gaza. Kami juga menyokong sepenuhnya usaha pertukaran tahanan rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada proses pendamaian yang lebih luas.
“Kita sebagai rakyat Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin dan menyeru komuniti antarabangsa untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kestabilan dan keamanan di rantau ini,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, gencatan senjata itu satu permulaan untuk menamatkan krisis yang berlangsung lebih 460 hari serta menghentikan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan.
“Alhamdulillah, Malaysia menzahirkan rasa syukur atas pengumuman gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin dan mencetuskan ketegangan yang berpanjangan di Asia Barat.
“Langkah ini adalah satu permulaan ke arah menamatkan krisis yang telah berlangsung lebih 460 hari dan menghentikan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan,” katanya.