Kabinet Israel lulus perjanjian gencatan senjata di Gaza
18 JAN : Israel hari ini meluluskan perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan pembebasan tahanan.
Keputusan Kabinet Israel itu diumumkan pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pada Sabtu iaitu sehari sebelum perjanjian tersebut dijadualkan bermula.
Menurut pejabat Netanyahu, perjanjian itu diterima selepas mesyuarat berlangsung lebih enam jam pada awal pagi Sabtu.
Gencatan senjata dijangka bermula esok itu akan disusuli dengan pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas bagi menamatkan perang yang berlangsung selama 15 bulan di Gaza.
Laporan media menyebut, 24 menteri Israel menyokong perjanjian itu sementara lapan lagi menolaknya.
Sebelum itu, perjanjian tersebut sudah mendapat kelulusan kabinet keselamatan Israel sebelum dibawa ke mesyuarat kabinet.
Mengikut perjanjian itu, fasa pertama memiliki tiga peringkat selama enam minggu dan Hamas akan membebaskan 33 tahanan Israel.
Sementara Israel bersetuju membebaskan semua wanita dan kanak-kanak Palestin dalam penjara menjelang akhir fasa pertama.