Pembaziran jika negara anggota ASEAN tidak kerjasama
18 JAN : Malaysia melihat suatu bentuk pembaziran jika negara anggota ASEAN gagal bekerjasama dalam mendepani pelbagai cabaran global
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu akan menjadi keutamaan yang ditekankan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.
“Melihat keadaan geopolitik dan geoekonomi di seluruh dunia sekarang, saya rasa adalah satu pembaziran jika ASEAN tidak bekerjasama.
“Itu mengapa kami memilih keterangkuman dan kemampanan sebagai tema kami pada tahun ini. Kita perlu inklusif. ASEAN perlu bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bilateral bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Maris Sangiampongsa di sela Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Langkawi, hari ini.
Mohamad menyertai sesi dua hari itu bersama menteri luar dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN termasuk Timor Leste selaku negara pemerhati.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Negeri Kedua Brunei, Dato Seri Setia Erywan Mohd Yusof di sela-sela sesi itu, hari ini.
Melalui perkongsian Wisma Putra di Facebook, kedua-dua pemimpin membincangkan soal komitmen dan tanggungjawab Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025 serta sokongan daripada negara anggota yang lain.
“Kedua-dua pemimpin turut menyentuh berkenaan isu dua hala yang merangkumi kerjasama dalam pelaburan dan perdagangan, pelancongan dan hubungan antara rakyat yang perlu dipertingkat. Kedua-dua pemimpin komited untuk bekerjsama erat dalam isu persempadanan darat kedua-dua negara,” katanya.
Melalui laporan Awani, sesi pemukiman tahun ini dijangka didominasi perbincangan mengenai perkembangan global terkini, termasuk krisis di Myanmar, ketegangan geopolitik dan cabaran-cabaran lain yang memberi kesan kepada keamanan dan kestabilan ASEAN.
Selain itu, tindakan susulan kepada keputusan-keputusan yang telah dicapai dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos pada Oktober 2024 turut menjadi tumpuan.
*Foto : Facebook Wisma Putra