20 JAN : Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) sah menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia dan EU (MEUFTA).
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dalam satu kenyataan bersama, hari ini sempena lawatan kerja Anwar ke Belgium.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata langkah menyambung semula rundingan itu menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan salah satu blok perdagangan terbesar dunia.
Selain itu, ia turut mencerminkan komitme ekonomi lebih erat dengan EU yang merupakan antara rakan perdagangan dan pelaburan utama Malaysia.
Pencapaian itu juga menggambarkan kekuatan hubungan yang berterusan antara kedua-dua pihak dan komitmen bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi.
“MEUFTA dijangka membuka manfaat besar merentasi pelbagai sektor ekonomi Malaysia, selain mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor kritikal.
“Ia berpotensi meningkatkan eksport daripada sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk berasaskannya, serta peralatan optik dan saintifik ke dalam pasaran EU.
“Selain itu, MEUFTA akan turut menjadi pemangkin dalam menarik pelaburan baharu dari EU dalam sektor termaju seperti tenaga hijau dan pembuatan termaju, selaras matlamat pembaharuan industri dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2020),” kata PMO dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, rundingan MEUFTA yang bermula pada 2010 ditangguhkan pada 2012 selepas tujuh pusingan susulan Malaysia tidak bersetuju dalam beberapa isu seperti sawit, dasar pemerolehan, subsidi dan klausa kelestarian EU.
Menurut PMO, EU adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2023 dengan nilai perdagangan mencecah RM206.79 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dengan EU meningkat sebanyak 5.2 peratus kepada RM200 bilion, berbanding tempoh sama pada 2023.
Hingga 2023, pelaburan EU di Malaysia menjana lebih 153,000 pekerjaan melalui 1,323 projek bernilai RM227.9 bilion.
Menurut PMO lagi, rundingan semula itu bukti visi bersama dalam kerjasama ekonomi dan aspirasi untuk membuka potensi perkongsian perdagangan dan pelaburan.
“Kerajaan Malaysia komited mencapai perjanjian yang seimbang dan menyeluruh kepada semua pihak berkepentingan, selain memastikan faedah bersama Malaysia dan EU.
“Kerajaan juga akan terus mengadakan libat urus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan berkaitan untuk memastikan MEUFTA mencerminkan kepentingan nasional serta aspirasi ekonomi Malaysia,” katanya.