AI bantu jimat kos dalam sistem penjagaan kesihatan
22 JAN : Kecerdasan buatan (AI) yang diterapkan dalam sistem penjagaan kesihatan dapat membantu dari segi penjimatan kos.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata AI juga dapat membantu meningkatkan kecekapan dalam sektor tersebut sekaligus mengurangkan pembaziran.
“Saya fikir ia adalah sangat tidak adil…dalam falsafah politik saya untuk menafikan sebahagian besar (rakyat) kemudahan kesihatan terbaik, dan sudah tentu infrastruktur asas di hospital dan AI memainkan peranan penting di dalamnya.
“Melalui AI, ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan menampilkan teknologi canggih, tetapi pada masa yang sama, ia mengurangkan pembaziran dari segi kos,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan peserta berkait AI dalam kesihatan awam pada sesi ‘Country Strategy Dialogue’ luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) Sidang Kemuncak Tahunan 2025 di Davos, Switzerland, lapor Bernama,
Sesi itu dikendalikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu yang turut dihadiri Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Anwar kini dalam lawatan kerja tiga hari bagi menghadiri WEF 2025 iaitu forum pertama dihadirinya sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2022.
Gobind berkata infrastruktur perlu disediakan bagi membolehkan teknologi itu berfungsi dengan baik dalam sistem penjagaan kesihatan.
“Anda mempunyai banyak data, kebanyakannya masih dalam bentuk analog, dan anda perlu memikirkan cara untuk menjadikan ia digital secepat mungkin. Anda perlu mempunyai mekanisme yang membolehkan data itu dikongsi.
“Apabila anda mempunyai kemudahan AI, ia membolehkan kita mencari penyelesaian kepada masalah masa lepas, dan itu adalah langkah pertama. Akhirnya, ia adalah mengenai pembinaan ekosistem,” katanya.
Menurut Gobind, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang dilancarkan baru-baru ini perlu berperanan dalam perkara itu.
“Kami bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian, bermula dengan Kementerian Kesihatan. Kami libatkan pegawai daripada kementerian termasuk menteri untuk mengenal pasti dan mengutamakan bidang tumpuan utama,” katanya.